Wednesday, May 12, 2010

BERSANGKA BAIK




Manusia matang bukan kerana berubah pada aspek luaran, berubah itu hanya sebagai petanda kita sudah tidak lagi budak, tidak lagi kecil, namun kita harus ingat gelaran ‘budak hinggusan’ tetap sahaja sebati andai kita tidak pernah matang akal, matang tindakan. Ujian pula adalah satu cara mematangkan cara kita bertindak, mahupun berfikir.

Ramai manusia, lebih-lebih lagi di kalangan orang muslim selalu bersangka buruk dengan takdir tertimpa ke atas dirinya, keluarga. Ujian sebenarnya adalah habuan kalian bila berhadapan pelbagai karenah dunia, ibarat cermin sisi melihat jauh ke belakang tapi matlamat kita memancu laju ke hadapan. Ujian itu adalah medan kita melihat, menilai.

Manusia alpa di persinggahan sementara ini, mereka akan terus hanyut dibawa arus membadai. Ibarat juga, seorang pemandu di kenderaan off-road yang tidak dapat melihat sekeliling, apabila tanah penuh menyeliputi cermin, dia seronok memandu ke sini sana. Melainkan dia mempunyai wiper yang berkesan membersihkan cermin bagi melihat arah pancuannya. Malangnya pembersih roh tidak semudah analogi membersih cermin kereta tadi.

Kalau kita jadi seperti Muthu Ravi, serasa memang ada kesulitan, sukar untuk diungkapkan dan dibicarakan kepada mereka yang tidak merasa. tapi atas hikmah tarbiyyah yang dilalui, atas kekebalan hati untuk terima kehendak-Nya dengan redha merupakan satu mujahadah yang menghasilkan pahala, maka hati kita tetap terpujuk, dan tidak akan terpukul sama.

Wahai teman...

Sejauh mana hati kita lunak dengan pujian manusia, atau asyik dengan ujian ketabahan dan kekebalan hati yang Allah Taala beri, kita yakin ada lagi perkara lebih besar yang bakal berlaku dalam hidup ini. Jadi apa sahaja perkara ‘kecil’ yang berlaku, tidak akan memberi kesan yang serius dalam hidup kita, kerana matlamat kita adalah akhirat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu (tetapkanlah akan kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertakan kemudahan” ash-Sharh (94:5-6)

Jadilah hamba kepada satu Tuhan untuk dipersembahkan keikhlasan beribadat, melakukan kebajikan, bukan kerana untuk membahagiakan ‘tuhan-tuhan’ kecil semata-mata kerana habuan dunia.

Kita akan tewas selama-lamanya sebelum sempat berjuang.

No comments:

Post a Comment